About Me

My photo
kehidupan menuntut ilmu tidak lari dari adab yang lahir dari hati yang sejahtera dan diterjemahkan dengan perbuatan dan amalan harian yang berakhlak baik.

Tuesday, May 6, 2014

Hakikat Sejarah Kebangkitan Wahabi


Sayyid Ahmad Zaini Dahlan merupakan seorang Syeikhul Islam, Mufti Haramain dan Pembela Ahlus Sunnah Wal Jama`ah. Berasal dari titihan yang mulia, ahlul bait Rasulullah صلى الله عليه وسلم melalui susur-galur Sayyiduna Hasan, cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Beliau pernah dilantik menjadi mufti Mazhab Syafi‘i, merangkap Syeikh al-Haram iaitu “pangkat” ulama tertinggi yang mengajar di Masjid al-Haram yang diangkat oleh Syeikh al-Islam yang berkedudukan di Istanbul, Turki.
Di dalam kitab beliau Fitnah al Wahhabiyyah min al Futuhaat al Islamiyyah. Beliau menukilkan tentang sejarah Wahhabi yang memasuki Makkah.
Dalam usaha Ibnu Abdul Wahhab dan kuncu-kuncu-nya menyebarkan dakyah mereka mengkafirkan ramai orang-orang Islam, mereka telah berjaya menawan qabilah-qabilah Timur qabilah demi qabilah dengan melakukan pembunuhan pengusiran dan rompakan.
Mereka juga membunuh kaum muslimin dan para jemaah haji sehingga 70 orang jemaah haji dari Yaman terkorban. Seorang daripada jemaah haji tersebut dapat melepaskan diri lalu menceritakan perbuatan kaum wahhabi kepada qabilah-qabilah mereka. Atas angkara kaum wahhabi ini, maka tercetuslah permusuhan di antara mereka sehinggalah waktu yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Kemudian kekuasaan mereka semakin meluas sehingga mereka berjaya menawan Yaman, Haramain (Makkah dan Madinah), qabilah-qabilah di Hijah hingga hampir sampai ke negara syam dan juga al Muzairib.
Pada permulaannya, mereka menghantar sekumpulan ulama’ mereka dengan menyangka mereka mampu untuk memesongkan aqidah-aqidah ulama’ Haramain dan menyerapkan keraguan, pendustaan dan kesesatan. Ternyata, sangkaan mereka meleset apabila sampai sahaja di Haramain, ulama’ di sana mematahkan dakyah mereka dengan hujjah dan bukti-bukti yang tidak mampu ditolak. Maka jelas dan ketaralah di sisi ulama’ Haramain akan kejahilan dan kesesatan mereka. Mereka juga mendapati ulama’ wahhabi adalah lucu dan hina seperti sekawan keldai liar yang lari melarikan diri (ketakutan) dari singa!
Ulama’ Haramain juga meneliti aqidah mereka dan mendapati pegangan mereka mengandungi banyak perkara-perkara yang mengkufurkan.
Setelah menengakkan hujjah ke atas mereka, ulama’ Haramain pun menulis keterangan tentang kekufuran dan kesesatan mereka kepada Qadhi Syar’ei di makkah yang dinilai berdasarkan kepada pegangan mereka untuk diisytiharkan kepada orang ramai. Maka dengan adanya pengisytiharan ini, ia akan diketahui oleh orang yang terdahulu dan terkemudian.
Peristiwa ini berlaku semasa pemerintahan Syarif Mas’ud ibn Sa’id ibn Sa’ad ibn Zaid yang wafat pada tahun 1165 hijrah. Beliau telah memerintahkan supaya golongan mulhid (menyeleweng) tersebut dipenjara. Segelintir daripada mereka yang sempat melarikan diri ke Dir’iyyah mengkhabarkan kepada kaum mereka apa telah mereka saksikan. Rentetan daripada itu, maka bertambahlah perlampauan, keangkuhan dan keganasan mereka.
Selepas itu, seluruh amir makkah telah menghalang mereka daripada memasuki makkah untuk menunaikan haji. Maka mereka pun bertindak ganas ke atas qabilah-qabilah yang memberikan ketaatan kepada amir makkah dengan menyerang, merampas harta benda dan membunuh serta merobek-robek jasad mereka dengan cara yang ditegah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Maka berlanjutanlah peperangan di antara mereka dengan amir Makkah, maulana Syarif Ghalib ibn Mas’ud ibn Sa’id ibn Sa’ad ibn Zaid.
Peperangan di antara mereka meletus pada tahun 1205 Hijrah dan berlakulah tragedi-tragedi yang telah mengorbankan nyawa yang banyak dan sentiasalah angkara dan bidaah mereka berterusan sehingga banyak qabilah dan penduduk Arab yang pada asalnya memberikan ketaatan kepada amir makkah berpaling memberi ketaatan dan menyertai mereka.
Pada tahun 1217 hijrah, mereka mara bersama pasukan tentera yang ramai sehingga sampai ke Toif lalu mengepung penduduk di sana pada bulan Zul Qaedah dalam tahun yang sama. Kemudian mereka menawan Toif dan membunuh penduduknya, lelaki dan perempuan dan juga kanak-kanak. Hanya segelintir daripada mereka yang sempat menyelamatkan diri. Mereka juga merampas harta benda penduduk Toif dan apa sahaja yang boleh mereka rampas.
Mereka memperlakukan penduduk Toif seolah-olah mereka bukan dari kalangan orang Islam. Mereka juga membakar kitab-kitab tafsir, mushaf-mushaf dan kitab-kitab hadith serta memijak-mijak dengan kaki dan kuda mereka serta melakukan perbuatan yang amat kejam.
Setelah berjaya menawan Toif, mereka berhasrat untuk memasuki Makkah pula, tetapi pada ketika itu orang-orang Islam sedang mengerjakan haji di sana. Ketika jemaah haji dari syam dan Mesir sedang dalam perjalanan untuk menunaikan haji, mereka keluar beramai-ramai melakukan serangan dan kembali mendiami Toif sehingga habis bulan haji.
Apabila jemaah haji telah pulang ke negara masing-masing, tentera wahabi pun menuju ke makkah. Al Syarif Ghalib tidak mempunyai kekuatan untuk memerangi tentera wahhabi ketika itu lalu meninggalkan Makkah dan menuju ke Jeddah,
Penduduk Makkah takut sekiranya tentera wahhabi bertindak kejam lalu memberikannya keamanan kepada mereka. Tentera Wahhabi akhirnya memasuki makkah pada 8 muharram 1218 hijrah. Selama 14 hari menduduki makkah, penduduk di sana diperintahkan bertaubat dan memperbaharui keislaman mereka yang dianggap sesat.Mereka juga melarang penduduk makkah melakukkan perkara-perkara yang dianggap syirik seperti bertawassul dan menziarahi kubur.
Setelah itu mereka menuju ke jeddah untuk memerangi Syarif Ghalib. Tatkala mereka hampir sampi ke Jeddah, Syarif Ghalib memerintahkan agar mematahkan serangan mereka dengan tembakan meriam dan bom lalu mengorbankan ramai tentera wahhabi sehingga mereka tidak mampu untuk menawan Jeddah.
Selepas 8 hari mereka pun bertolak pulan ke kampung halaman mereka dan sebahagian daripada tentera wahhabi masih kekal berada di makkah.
Di makkah mereka melantik seorang amir yang baru iaitu Syarif Abdul Mu’in saudara syarif Ghalib. Beliau menerima perlantikan ini demi memelihara penduduk makkah dan mempertahankan mereka dari kejahatan puak wahhabi.
Pada bulan rabi’ al awwal tahun yang sama, syarif Ghalib kembali dari jeddah menuju ke makkah bersama pemerintah Jeddah dari Khilafah Islamiah Turki iaitu syarif Basya dan bala tentera. Apabila sampai di Makkah, mereka berjaya mengusir keluar tentera wahhabi dan kuasa pemerintahan makkah dikembalikan semula kepada Syarif Ghalib.
Tentera wahhabi meninggalkan makkah dan menumpukan usaha mereka untuk menyerang qabilah-qabilah. Ketika itu, Toif masih berada dalam genggaman mereka. Maka mereka telah menlantik Amir Uthman al Mudhayiqi sebagai pemerintah Toif yang kemudiannya bersama tentera-tenteranya menjadi kuncu-kuncu wahabi memerangi qabilah-qabilah yang terdapat di sekitar makkah dan Madinah. Mereka memaksa qabilah-qabilah yang ditawan memberikan ketaatan sehingga mereka dapat menguasai qabilah-qabilah tersebut dan semua kerajaan yang pada asalnya memberikan ketaatan kepada amir makkah.
Setelah itu, tentera wahhabi menumpukan perhatian kepada matlamat mereka untuk menguasai makkah. Maka mereka pun bergerak bersama tentera-tentera mereka pada tahun 1220 hijrah menakluki semua bahagian. Mereka juga memperhebatkan kepungan ke atas makkah, melakukan rompakan di jalanan dan menghalang penduduk makkah meninggalkan makkah sehingga mereka ditimpa penderitaan yang amat sangat dan terpaksa memakan daging anjing akibat kelaparan dan tidak mempunyai apa-apa makanan.
Keadaan ini memaksa syarif Ghalib untuk mengadakan perjanjian damai dengan puak wahhabi. Di antara isi perjanjian tersebut, puak wahhabi diisyaratkan supaya memberikan keamanan kepada penduduk makkah dan beliau melantik beberapa orang sebagai orang tengah di antaranya dan puak wahhabi, manakala kuasa pemerintahan dikuasai oleh puak wahhabi.
Setelah perjanjian damai dimeterai, pada akhir bulan zul Qaedah tahun 1220 hijrah, puak wahhabi memasuki makkah buat kali kedua. Kemudiannya mereka meluaskan jajahan takluk dengan menawan Madinah al Munawwarah -ke atas penghuninya semulia-mulia selawat dan salam- mereka merampas rumah-rumah dan harta benda penduduknya serta melakukan perbuatan-perbuatan keji. Mereka juga melantik seorang ketua dari kalangan puak wahhabi di Madinah, Mubarak ibn Madhyan.
Pemerintahan mereka kekal di Haramain selama 7 tahun. Mereka melarang orang-orang Mesir dan syam berserta barang dagangannya memasuki makkah untuk menunaikan haji. Mereka juga menukar kelambu ka’abah yang mulia dengan kain berwarna hitam, sedangkan kita ketahui telah dibuat untuk ka’abah kelambu dari kain berwarna hijau. Mereka memaksa manusia masuk ke dalam fahaman mereka. Mereka juga turut meruntuhkan kubah-kubah yang dibina di atas kubur para wali.

No comments:

Post a Comment